PUTRAJAYA – Sebanyak RM80 juta diperuntukkan pada tahun ini bagi menampung kos penyelenggaraan mana-mana sekolah yang berisiko dilanda banjir, ribut atau kecemasan seperti kebakaran.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, peruntukan berkenaan termasuk kerja-kerja merangkumi penyelenggaraan struktur dan bukan struktur bangunan, bumbung, pendawaian elektrik, pagar, longkang dan lain-lain penyelenggaraan kecil.
Menurutnya, mengenai projek pembangunan semula bangunan daif di sekolah yang telah lama diluluskan namun mempunyai isu pelaksanaan.
“Kementerian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membuat penelitian dan perancangan semula dengan mengambil kira faktor seperti ketersediaan di tapak, keperluan pembangunan semasa dan kenaikan kos terkini projek agar tidak menjejaskan fungsi pembinaan tersebut.
“Kelewatan pelaksanaan projek bukanlah disebabkan oleh faktor peruntukan sebaliknya disebabkan oleh faktor lain seperti aksesibiliti, keperluan penyesuaian reka bentuk berdasarkan keadaan muka bumi di tapak dan faktor prestasi kontraktor,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Negara pada Selasa.
Dalam pada itu, Fadhlina turut menyentuh isu fasiliti tandas untuk murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK), beliau berkata kementerian akan memberi fokus terhadap penyediaan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) di sekolah bawah KPM.
“KPM akan memastikan sekolah dapat memenuhi keperluan MBPK dengan memastikan penyesuaian munasabah dapat diberi termasuk mengubah kelas ke tingkat bawah, membenarkan murid menggunakan tandas guru sekiranya tiada tandas OKU serta menyediakan tanjakan mudah alih,” katanya.
Be First to Comment