PUTRAJAYA – Bermula dari tahun 2019 hingga kini, seramai 240 pemberi rasuah telah dituduh di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 29 pemberi rasuah dituduh di bawah Seksyen 16 (b) manakala 211 di bawah Seksyen 17 (b) akta itu.
Menurutnya, daripada jumlah pertuduhan atau sabitan yang dibuat, 86 individu pemberi rasuah didapati bersalah mengikut peruntukan kedua-dua seksyen itu.
“Berdasarkan kelaziman kes yang direkodkan, hanya satu pihak antara pemberi atau penerima rasuah yang dikenakan hukuman kerana tiada pihak ketiga yang tampil memberi bukti dan keterangan di atas kesalahan pihak terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan sidang khas Dewan Negara Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Parlimen, pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, berdasarkan undang-undang, sekiranya ada pihak atau orang ketiga yang boleh kemukakan bukti dan keterangan yang mencukupi maka kedua-dua pemberi atau penerima mahupun orang perantaraan boleh didakwa di mahkamah.
Pada masa sama, Ramkarpal memberitahu bahawa kerajaan sedang mengkaji dan meneliti keperluan menubuhkan Suruhanjaya Undang-undang atau Law Reform Commission.
“Keperluan penubuhan itu adalah bertujuan untuk memastikan keberkesanan proses penyemakan dan pembaharuan undang-undang.
“Dengan penubuhan suruhanjaya itu kelak, usaha mengkaji dan menyemak semula undang-undang sedia ada serta yang lapuk boleh dilaksanakan secepat mungkin, selaras usaha kerajaan memastikan perundangan negara kekal relevan,” ujarnya.
Beliau berkata lagi, pihaknya turut mengambil maklum cadangan supaya kerajaan menggubal Akta Anti-Diskriminasi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan ia perlu dikaji terlebih dahulu secara mendalam dengan mengambil kira aspek sensitiviti dan keperluan semasa masyarakat berbilang bangsa di negara ini.
“Mengenai cadangan mewujudkan Undang-undang Antiucapan Kebencian pula, kerajaan berpendapat telah ada beberapa undang-undang sedia ada yang mempunyai peruntukan untuk menangani ucapan kebencian seperti Akta 574 Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Hasutan 1948,” katanya.
Be First to Comment