MUKADIMAH: Ketika meluncurkan inisiatif Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal ucapannya, menggariskan dua fokus utama,Ekonomi Madani bertujuan menstrukturkan semula ekonomi agar Malaysia kembali gah menjadi peneraju ekonomi Asia dan kualiti hidup rakyat terus diangkat melalui peningkatan pemacuan ekonomi,menggalakkan pelaburan dan memperkukuh industri tempatan supaya lebih inovatif dan berdaya saing serta mampu dilonjakkan ke pasaran global. Untuk mengupasnya dengan lebih mendalam, ikuti temuramah khas dengan ahli ekonomi DR NUNGSARI AHMAD RADHI, berkaitan ekonomi madani dan bagaimana ia dikatakan dapat memperkasakan rakyat dan negara ini.
SOALAN: Dalam erti kata mudah bagi pemahaman rakyat, apakah itu Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat, dan apakah manfaat yang ia boleh bawa kepada rakyat marhaen?
JAWAPAN: Pertama sekali kita harus faham apakah yang dimaksudkan dengan Ekonomi Madani?
Ekonomi Madani bertolak daripada satu fasafah bahawa pembangunan dan pertumbuhan ekonomi adalah berpunca daripada faktor kemasyarakatan, nilai dan norma masyarakat.
Oleh itu, sesuatu konsep dan dasar pembangunan ekonomi perlulah berlandaskan faktor kemasyarakatan, yakni faktor-faktor ketamadunan yg dianjurkan oleh Malaysia Madani.
Sebab itulah Ekonomi Madani menekankan soal nilai dan pembangunan serta kawalselia institusi dalam masyarakat – institusi kemasyarakatan mahupun institutsi ekonomi.
Aspek ketamadunan ini adalah juga selari dengan asas pembentukan Malaysia seperti yang diharapkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dan terkandung di dalam Perlembagaan Malaysia.
Kita juga mengambil iktibar daripada dasar lampau yg semuanya berhasrat untuk membangunkan Malaysia tetapi telah gagal untuk mencapai matlamat yang diharapkan; daripada Wawasan 2020 ke Model Ekonomi Baru – semata-mata bermatlamatkan sasaran kuantitatif pertumbuhan bukan sahaja menyebabkan sasaran itu tidak tercapai, malah pertumbuhan yang tercapai adalah juga tidak teragih dengan saksama.
Jadi kita harus bertanya, apakah matlamat asas Ekonomi Madani?
Menyedari akan ekonomi negara berada di atas satu landasan yg semakin perlahan, kadar pertumbuhannya, yang semakin meruncing, ketidaksamaan agihan pendapatan/kekayaannya serta ekonomi yang kelemahan daya saing untuk menarik keyakinan pelabur, kerangka Ekonomi Madani bermatlamat melakukan reformasi untuk mengalih ke landasan yg lebih baik.
Yang bukan sahaja mengembalikan kecergasan ekonomi negara tetapi juga menjana pertumbuhan yang meningkatkan kesejahteraan rakyat dan daya saing negara.
Kerangka Ekonomi Madani ialah membina semula Rumah Malaysia dengan mengukuhkan asasnya, meningkatkan lantainya, meninggikan silingnya serta membangunkan tiangnya.
Asasnya ialah kerangka tadbir urus dan kawalselia. Lantainya ialah usaha membekalkan jaringan keselamatan sosial kepda seluruh rakyat. Silingnya ialah usaha menjana pertumbuhan dan daya saing negara. Tiangnya ialah penggerak rumah Malaysia – sektor awam, sektor swasta serta sektor ketiga yang akan ditekankan oleh dasar ini – iaitu sektor sukarela (bukan untuk keuntungan) dan amanah/wakaf.
SOALAN: Ada pakar-pakar ekonomi yang berkata, Ekonomi Madani tidak ada banyak bezanya dengan Model Ekonomi Baru (MEB) yang diketengah oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan kedua-keduanya tidak membawa faedah kepada rakyat. Apakah pandangan ini bernas, dan jika tidak, apakah pendekatan Ekonomi Madani yang berbeza dengan Model Ekonomi Baru?
JAWAPAN: Saya tak nak respon kepada fakta yang mereka guna (daripada DOSM) adalah alasan untuk wujudkan Ekonomi Madani. Yang kita sangkal ialah dakwaan mereka yang mengatakan Ekonomi Madani adalah sama dengan Model Ekonomi Baru (MEB).
MEB bukan berteraskan aspek ketamadunan dan kemasyarakatan. Ia juga tidak dilaksanakan dengan betul. Najib melaksanakan ETP yg beteraskan projek, bukan MEB.
Rakyat Malaysia sudah biasa mendengar saban tahun bahawa ekonomi negara, atau dalam terma teknikalnya Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), mengembang tiap-tiap tahun. Namun, manfaatnya tidak dapat dirasai oleh rakyat yang berhadapan dengan cabaran kehidupan harian.
Apakah sebabnya ini terjadi dan adakah Ekonomi Madani mempunyai solusi untuk ketidakselarasan antara KDNK dan kualiti hidup rakyat?
Perdana Menteri sendiri menggunakan alasan ini – apa guna pertumbuhan yang tidak saksama agihan manfaatnya? Sudahlah semakin perlahan, tidak saksama pula agihannya. Inilah antara premis Ekonomi Madani yang saya jelaskan di atas.
Jika kita melihat kepada kegiatan ekonomi yang menjana pertumbuhan, kita saksikan beberapa ciri yang boleh menjelaskan tahap gaji yang keseluruhannya rendah serta taburan manfaat yang tidak seimbang.
Pertamanya, ekonomi negara masih tersangkut kepada kegiatan seperti perladangan dan sektor komoditi – satu warisan penjajahan di mana kegiatannya menggunakan modal/teknologi yang sedikit, tanah yang luas dan tenaga kerja yang ramai.
Ini menyebabkan pendapatan yang diagihkan kepada buruh dalam bentuk upah adalah rendah. Sektor pembuatan juga banyak yang hanya melibatkan pemasangan di mana nilai tambahnya adalah rendah. Oleh itu, gajinya juga adalah rendah.
Begitu juga sektor pembinaan di mana penggunaan teknologi adalah rendah dan gajinya rendah. Tambahan pula, pekerja asing berkemahiran rendah dimasukkan dengan begitu ramai yang juga menekankan lagi upah.
Sektor perkhidmatan di Malaysia pula – kecuali yang melibatkan pelancongan – adalah sektor yang bergaantung kepada permintaan domestik semata-mata.
Pasaran domestik yang tahap pendapatan yang tidak tinggi, kuasa beli yang tidak tinggi. Kita masuk dalam satu kitaran yang menjadikan ekonomi kita semakin domestik yang bergantung kepada permintaan domestik yang pendapatan tidak tinggi dan upah tidak tinggi.
Selagi kita tidak mengubah struktur ini, memperbaiki daya saing negara, meningkatkan kehadiran syarikat Malaysia di pasaran antarabangsa, membesarkan perdaganagan luar negara, selagi itulah kita tidak boleh meletakkan Malaysia di landasan baharu, landasan yang lebih manfaatkan rakyat dan yang membina kesejahteraan negara amnya.
Satu lagi masalah besar yang lmenghadapi rakyat adalah kos makanan yang mencanak naik. Walaupun Kerajaan Madani sering menghebahkan penguncupan inflasi selepas penukaran kerajaan, hakikatnya apabila terdapat inflasi, harga makanan dan barang asas masih lagi meningkat. Apa yang kerajaan boleh buat untuk menurunkan kos sara hidup rakyat?
Fenomena inflasi punya pelbagai punca. Pertamanya ini adalah fenomena global yang disebabkan oleh peperangan Rusia-Ukraine yang sekaligus menjejaskan perdagangan makanan dunia serta kenaikan kadar faedah yang mendadak di Amerika Sysrikat (AS).
Ini menyebabkan kadar tukaran dollar mengukuh berbanding matawang lain termasuk Ringgit Malaysia. Akibatnya, semua nilai barangan/perkhidmatan yang diimport telah naik harga.
Oleh kerana Malaysia mengimport begitu banyak makanan, harga makanan telah naik.
Fenomena inflasi ini sudah memuncak. Tekanan harga untuk meningkat lagi telah berkurangan tetapi harga telah pun naik di masa lepas.
Antara yg telah dilakukan untuk mengawal inflasi ialah kerajaan bertindak dengan berhemah supaya pasaran punya keyakinan dengan masa depan negara.
Antara lain, kerajaan telah menekankan soal tadbir urus dan memperbaiki pengurusan kewangannya. Pelancaran Ekonomi Madani juga merupakan satu usaha meletakkan segala inisiatif kerajaan di dalam satu kerangka yang menyeluruh.
Jika tidak, pelabur akan keluarkan duit serta tidak melabur di Malaysia yang akan melemahkan lagi RM.
Secara langsung kerajaan juga masih lagi mengawal harga siling barangan asas. Tambahan pula subsidi harga masih lagi diteruskan. Selain itu, kumpulan yang disasarkan menerima bantuan tunai untuk menampung kehilangan kuasa beli akibat inflasi.
Yang penting ialah kerajaan perlu menguruskan ekonomi untuk menjana pertumbuhan yang bermakna akan mengwujudkan pekerjaan supaya sekurang-kurangnya ada pekerjaan dan gaji.
Nilai matawang ringgit yang lemah berbanding 10 hingga 20 tahun lepas turut mendorong kepada kenaikan harga makanan kerana kebergantungan tinggi Malaysia dengan barang makanan dari negara luar.
Jadi, adakah Ekonomi Madani dapat membantu menguatkan semula nilai ringgit, dan apa pendekatan Ekonomi Madani untuk mengurangkan kos makanan?
Saya dah cakap faktor jangka pendek yang mempengaruhi nilai RM. Dalam jangka panjang, nilai RM bergantung kepada permintaan terhadap RM. Apakah sebab orang atau syarikat mahu memegang RM? Jika sebabnya mengurang, nilainya juga mengurang.
Apa yang telah terjadi ialah dalam 20 tahun lepas, ekonomi Malaysia semakin berorientasikan domestik. Sumber pertumbuhan sebahagian besarnya adalah domestik. Sektor perkhidmatan, sektor terbesar hampir keseluruhannya domestik.
Perdagangan antarabangsa sebagai peratusan ekonomi telah menguncup. Sebelum krisis ekonomi Asia 1998, perdagangan adalah melebihi dua kali (200%) ganda saiz ekonomi, sekarang ia hanyalah 20% lebih besar.
Ini menyebabkan permintaan terhadap RM melalui perdagangan menguncup dan nilai RM melemah secara struktur. Selain itu, pasaran modal Malaysia, pasaran saham Malaysia juga telah kehilangan kepentingannya.
Bursa KL bukan lagi pasaran saham yang utama di Asia seperti dahulu. Aliran masuk wang pun mengecil. Antara lain, Malaysia tidak melahirkan syarikat baharu yang menarik minat pelabur.
Selain itu aliran FDI juga telah mengecil secara relatif. Ini semua menyebabkan nilai RM telah jatuh dalam dua dekad ini.
Satu cara saja utk menaikkannya secara struktur. Bangunkan syarikat yang berdaya saing yang boleh mengeksport di pasaran luar. Kita perlu untuk antarabangsakan ekonomi kita daripada PKE kepada syarikat besar.
Perkembangan perdagangan antarabangsa akan meningkatkan permintaan terhadap RM dan mengukuhkan nilainya. Itu ada dalam Ekonomi Madani. Apabila kita punya syarikat yang berdaya saing sperti itu, Bursa juga akan menjadi rancak dan menarik minat dan aliran wang masuk untuk naikkan RM.
SOALAN: Kerajaan baru-baru ini banyak membuat pengumuman tentang jumlah-jumlah pelaburan langsung asing (FDI). Namun, hakikatnya, rakyat marhaen tidak dapat merasa manfaat pelaburan-pelaburan ini. Lebih-lebih lagi untuk kaum Melayu, yang ramainya masih menjadi pemandu Grab dan peniaga warung. Secara realistiknya, adakah rakyat biasa akan makin tertinggal jauh ke belakang jika Malaysia dinaiktaraf kepada ekonomi berpendapatan tinggi?
JAWAPAN: Saya telah jelaskan sebahagiannya di atas tadi. Sememangnya sesuatu pelaburan terutamanya FDI yang besar akan mengambil masa untuk siap dan kemudiannya membuka peluang pekerjaan. Apa yang penting ialah persiapan dari segi kemahiran perlu ada untuk memenuhi permintaan syarikat ini nanti.
Sesungguhnya antara sebab utama pelabur melabur di Malaysia atau di mana-mana ialah kehadiran tenaga kerja mahir. Kalau tak cukup tenaga mahir, syarikat tidak akan mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia.
Soal ramai remaja Melayu yang tidak menyambung pelajaran atau latihan kemahiran selepas meninggalkan sekolah adalah sangat membimbangkan.
Penyertaan di dalam ekonomi gig atau media sosial bukanlah satu kerjaya atau pun keusahawanan yang boleh berkekalan. Memang betul fenomena pendigitan termasuk kecerdasan buatan (AI) akan mengubah sifat pekerjaan dengan cara yang ketara, yang akan memupuskan pelbagai jenis pekerjaan tetapi apa yang jelas ialah mereka yang langsung tidak mempunyai kemahiran khusus atau pendidikan lanjutan akan dihukum dengan keras nanti.
Oleh sebab itulah itu Ekonomi Madani menekankan aspek kemasyarakatan untuk memperolehi hasil ekonomi. Semoga sikap yg sentiasa memperbaiki diri, belajar sepanjang hayat berleluasa di kalangan rakyat.
SOALAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menyentuh tentang mengembangkan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS). Bagaimana kerajaan dan Ekonomi Madani boleh membuat PMKS menjadi juara serantau?
JAWAPAN: PM menekankan bersekali – mengantarabangsakan PMKS. Penekanan kepada PMKS serta perubahan untuk melihat semua jenis perniagaan atau keusahawanan sebagai sesuatu usaha yang berdaya saing untuk pasaran antarabangsa.
Penekanan kepada mengantarabangsakan PMKS bukan macam penekanan kepada melahirkan “jaguh serantau” yang lebih berorientasikan saiz. Ekonomi Madani meletakkan harapan untuk berinovasi dalam pembangunan produk kepada firma kecil, bukan firma besar. Jadi saiz bukan pengukurnya, kemampuan untuk berdaya saing menembusi pasaran luar adalah ukurannya.
Kerajaan telah banyak menanda tangani pelbgai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang melibatkan pelbagai negara. Akses kepada pelbagai pasaran ini sudah ada tetapi ia tidak dilihat sebagai sesuatu yang boleh manfaatkan PMKS.
Ini harus berubah. Pada masa yang sama, kerjasama ekonomi dua hala yang lebih erat perlu diwujudkan dengan negara jiran, yang melampaui kerjasama peringkat ASEAN.
Menteri Ekonomi sudah umumkan penubuhan zon kerjasama ekonomi dengan Singapura misalnya. Zon ekonomi di mana terdapat pergerakan barangan dan pekerja yang bebas dengan semua negara berjiran dengan kita akan membuka pasaran dua hala ini.
SOALAN: Ekonomi Madani menekankan aspek peningkatan gaji pekerja supaya menjadi komponen yang lebih besar dalam KDNK Malaysia. Dalam erti kata mudah, kerajaan mahukan gaji pekerja supaya naik lebih banyak. Apakah rancangan kerajaan untuk merealisasikan sasaran ini?
JAWAPAN: Ekonomi Madani mensasarkan untuk naikkan sumbangan upah kepada pendapatan. Selain melakukannya melalui perundangan seperti kadar upah minima, sebahagian besar usaha ini mestilah berteraskan produktiviti dan daya saing syarikat.
Ini memerlukan perubahan kepada apa yang syarikat buat. Kalau buat perladangan macam sekarang dengan keluasan 7 juta hektar, gaji tak kan berubah. Boleh ubah setakat gaji minima.
Kalau ada inovasi, teknologi baharu yang memerlukan kurang pekerja untuk mengutip hasil, maka sudah tentu upah akan menjadi lebih tinggi. Kalau setakat jual barangan atau perkhidmatan kepada pasaran tempatan, gaji tak kan naik banyak mana.
Kalau berdaya saing untuk menembusi pasaran luar yang sanggup bayar harga yang lebih tinggi, gaji akan naik. Oleh sebab itulah Ekonomi Madani meletakkan mengantarabangsakan PMKS sebagai agenda utama transformasi ekonomi. Syarikat Malaysia yang semata-mata jual di pasaran domestik akan hanya mampu membayar upah yang terhad.
SOALAN: Ekonomi Madani bukanlah gagasan ekonomi Malaysia pertama yang membuahkan hasrat untuk meningkatkan kadar penyertaan tenaga kerja wanita. Apakah punca utama kadar penyertaan wanita sekarang ini rendah berbanding lelaki, dan apa yang Ekonomi Madani akan buat lain daripada kerangka dan visi ekonomi sebelumnya untuk menaikkan kadar penyertaan wanita?
JAWAPAN: Bab kerangka ekonomi lampau sudah saya jawab. Mengenai kadar penyertaan wanita, ia bukan menurun. Ia rendah dan tidak meningkat. Walaupun kadar penyertaan kanak-kanak perempuan lebih tinggi daripada lelaki di sekolah dan penyertaan serta pencapaian wanita di IPT jauh lebih tinggi daripada lelaki, kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh adalah rendah. Lebih daripada itu, penyertaan wanita menurun spabila mereka mempunyai anak dan ia tidak meningkat kembali.
Akibatnya, Malaysia tidak mengguna modal insannya yang terbaik di dalam ekonomi. Ini berkaitan sikap dan norma masyarakat. Tetapi sebab utama ialah peranan wanita sebagai ibu dan nilai pasaran wanita sebagai membesarkan anak tidak diambilkira.
Sokongan terhadap wanita bekerja yang mempunyai anak di tempat kerja adalah sangat berkurangan. Sikap majikan terhadap ibu yang melahirkan anak dan kemudian membesarkan anak itu adalah juga tidak menyokong malah mendiskriminasikan.
Oleh itu, Ekonomi Madani mencadangkan untuk menaikkan kadar penyertaan wanita dalam alam pekerjaan melalui proses perundangan dan insentif kepada majikan. Jika melahirkan nak dan membesarkannya adalah satu kegiatan yang punyai nilai ekonomi, undang-undang serta dasar hendaklah tidak mendiskriminasikan ibu yang bekerja.
Malah ibu yang bekerja perlu disokong untuk terus kekal bekerja melalui kemudahan penjagaan anak semasa kerja.
SOALAN: Bolehkah rakyat menabur harapan supaya Ekonomi Madani menjadi realiti? Apakah risiko-risiko utama yang boleh menggagalkan kerangka Ekonomi Madani?
JAWAPAN: Segala reformasi institusi serta ekonomi ini bukan mudah. Ia akan ditentang oleh mereka yang mempunyai kepentingan untuk mengekalkan status quo. Ia akan juga ditentang oleh mereka yang menentang semata-mata untuk menentang tanpa ada cadangan yang lebih baik.
Apa juga keputusan dasar akan ada harganya – ada ruginya, ada untungnya. Ada pihak yang beruntung daripada sesuatu keputusan, ada yang rugi. Tidak ada keputusan dasar yang tidak ada untung-ruginya. Kefahaman ini serta kemampuan untuk menilai fakta dan data adalah diperlukan untuk melalui proses reformasi ini.
Tanpanya, pengkritik yang menjanjikan semua yang enak akan mungkin berjaya untuk mengagalkan usaha ini.
Be First to Comment