KUALA LUMPUR – Malaysia dan Indonesia terus menegaskan komitmen untuk mengekalkan kerjasama erat antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan PT Pertamina (Persero) demi memperkukuh sektor tenaga rantau ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama dua gergasi serantau itu wajar diperkembangkan menerusi lebih banyak perjanjian baharu dan penerokaan bidang perniagaan yang segar.
“Kami komited memastikan kerjasama Petronas dan Pertamina, dua peneraju utama rantau ini, dapat diperkasakan dengan meninjau pelbagai peluang serta hala tuju yang menjanjikan kemajuan,” katanya pada sidang akhbar bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto sempena lawatan negara pertama beliau ke Malaysia.

Terdahulu, Anwar dan Prabowo menyaksikan majlis menandatangani dua surat hasrat (LOI) antara Axiata Group Bhd dan Sinar Mas yang berpangkalan di Indonesia, bertujuan meneroka serta memajukan kerjasama strategik di beberapa bidang utama.
Dalam kenyataan bersama, Axiata dan Sinar Mas menjelaskan LOI pertama menyediakan landasan kukuh untuk perbincangan terperinci membabitkan projek dan inisiatif khusus, sekali gus meneroka lebih banyak sinergi di Malaysia, Indonesia dan seluruh Asia Tenggara.
“Kami akan memanfaatkan ekosistem telekomunikasi kedua-dua pihak untuk membuka nilai baharu bagi para pemegang kepentingan, terutamanya dalam penyelesaian 5G, perkhidmatan perusahaan, infrastruktur digital serta inovasi fintech.
“Kesemua inisiatif ini pada akhirnya akan menyokong agenda transformasi digital di rantau ini,” menurut kenyataan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Group, Vivek Sood, menegaskan LOI terbabit merupakan langkah penting dalam mengukuhkan kerjasama serantau untuk membentuk gelombang baharu transformasi digital Asia Tenggara, selain memberi kemudahan dalam bidang berpotensi pertumbuhan tinggi.
“Menerusi pemantapan hubungan dengan Sinar Mas, kami berhasrat meneroka potensi 5G, penyelesaian perusahaan dan infrastruktur digital untuk menjana pertumbuhan ekonomi mampan serta mengurangkan jurang digital di Malaysia, Indonesia dan seterusnya,” ujarnya.
Sementara itu, LOI kedua yang ditandatangani mengukuhkan lagi komitmen Axiata dan Sinar Mas terhadap Perjanjian Definitif yang dipersetujui pada 11 Disember 2024, bagi merealisasikan penggabungan PT XL Axiata Tbk, PT Smartfren Telecom Tbk, dan PT Smart Telcom menjadi PT XLSmart Telecom Sejahtera Tbk di Indonesia.
“LOI ini menegaskan visi bersama kami bagi transaksi penting ini yang bakal menjadikan XLSmart memiliki nilai perusahaan pra-sinergi melebihi 104 trilion rupiah (RM28 bilion). Ini melambangkan visi bersama untuk memacu inovasi, meningkatkan kualiti perkhidmatan pelanggan dan mengukuhkan keterhubungan digital di Indonesia serta pasaran yang lebih kompetitif.
“LOI ini juga menegaskan komitmen kedua-dua pihak untuk memenuhi semua syarat yang dipersetujui dalam Perjanjian Definitif, bagi memastikan proses transaksi berjalan lancar,” menurut kenyataan itu.
Be First to Comment