Press "Enter" to skip to content

Noktah kemiskinan antara intipati utama RMK-12

PUTRAJAYA –  Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang diperkenalkan bukan satu perkara biasa sebaliknya melibatkan anjakan baharu agenda pembangunan negara kerajaan perpaduan selaras dengan kerangka Ekonomi Madani. 

Menerusi satu laporan yang dikeluarkan pada Isnin, terdapat tiga intipati utama dalam KSP RMKe-12 yang bakal kerajaan laksana antaranya memperkasa rakyat yang disokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Anjakan baharu itu akan memberi tumpuan khusus kepada menoktahkan kemiskinan tegar dengan memperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion untuk program meningkatkan pendapatan.

Seterusnya, melaksanakan reformasi struktur ekonomi kepada bidang seperti industri peralihan tenaga, industri digital, elektrik dan elektronik (E&E) bernilai tinggi (seperti infineon), keterjaminan makanan serta industri nadir bumi. 

Di samping itu, dalam menerajui ekonomi Islam pula KSP RMKe-12 akan memberi tumpuan  kepada halal dan toyyiban serta inovasi kewangan Islam selaras dengan prinsip maqasid syariah dan keadilan. 

Laporan itu juga turut memberitahu, kerajaan akan memberi fokus kepada eksport perkhidmatan seperti perkhidmatan global, industri kreatif, aeroangkasa, pelancongan. 

Intipati kedua KSP RMKe-12 pula, kerajaan komited merancakkan pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat dengan menaikkan siling RMKe-12 daripada RM400 bilion kepada RM415 bilion. 

Beritahu laporan itu, perbelanjaan pembangunan pada awal RMKe-12 rendah dengan perbelanjaan hanya RM64.3 bilion tahun 2021 dan RM71.6 bilion tahun 2022. Kerajaan mahu membelanjakan sekurang-kurangnya RM90 bilion setahun bagi tahun 2023, 2024 dan 2025.

Antara keutamaan kerajaan adalah kesihatan yang mana sebanyak 1,200 klinik daif di seluruh negara akan dinaik taraf antara tahun 2023 dan 2025, serta menyegerakan projek naik taraf fasa pertama di Hospital Sultanah Aminah 2, Johor dengan kos RM500 juta untuk menangani kesesakan. 

Seterusnya, kerajaan akan membaik pulih sekolah daif, diikuti dengan rangkaian jalan Sarawak-Sabah Link Road II, Pan Borneo Sabah dan pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang serta pembangunan semula Subang iaitu melaksanakan pelabuhan baharu di Pulau Carey, Klang, Selangor. 

Bukan itu sahaja, kerajaan akan menambah baik daya harap bekalan elektrik di Sabah. Seterusnya, menangani masalah bekalan air, terutamanya Kelantan dan Sabah serta infrastruktur kawasan sawah di MADA, Kedah RM3 bilion. 

Antara keutamaan lain adalah kerajaan akan memberi fokus terhadap pelaksanaan projek tebatan banjir dan pembangunan pengkalan tentera laut di Bintulu dengan perolehan aset tambahan seperti kenderaan perisai dan Littoral Mission Ship untuk memperkukuh Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

Intipati ketiga adalah pembaharuan kemampanan, tatakelola dan sistem penyampaian kerajaan. 

Menurut laporan itu, pembaharuan tatakelola menumpukan kepada perundangan berkaitan rasuah, perolehan kerajaan berlandaskan saingan atau tender terbuka dan pembaharuan kemampanan fiskal, sasaran defisit fisKal 3.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)  atau lebih baik pada tahun 2025. 

Bukan itu sahaja, ia juga termasuk inovasi sistem penyampaian awam supaya menyegerakan pelaksanaan projek pembangunan, menambah baik keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta pendigitalan perkhidmatan yang didukung oleh Identiti Digital Nasional (IDN) dan Kerajaan Berteknologi Termaju (GovTech). 

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *